March 18, 2010

Untukku Ratuku Sahabatku


Ratuku,
ingin kuluahkan apa yang sudah lama ingin kuluahkan,
tentang kebimbanganku ini
tatkala melihat bunga-bunga berguguran
dipetik tangan-tangan yang ganas
lagi bernafsu serakah.

Ratuku,
kebimbanganku ini masih menebal
apabila kudengar dengungan kumbang perosak
yang cuba menyedut madumu
walau tanpa relamu.


Ratuku,
kebimbanganku bertambah lagi
bila kumelihat bunga yang tak segan silu
melampiaskan kecantikannya ketika sedang mekar
melupakan kuntuman yang
sebelum ini melindunginya.


Ratuku,
aku masih terpinga-pinga
masih wujudkah lagi ratu idaman kalbu
kerana apa yang aku lihat hari ini
semakin banyak bunga-bunga gugur
bagaikan tibanya musim luruh.


Ratuku,
bukanlah kuharap kau segigih Siti Hawa
yang berlari-lari antara Safa dan Marwa,
bukan juga sesetia Ainul Mardhiyah
menanti kekasih di pintu syurga.


Ratuku,
akuilah hakikat yang tersurat
engkau bukanlah Siti Khadijah
mahupun Siti Fatimah,
engkau bukanlah a’isyah,
bukan juga Rabi’atul Adawiyah
wanita suci terpuji
kerana aku tidak layak
berharap sedemikian rupa.
Cukupkah sekadar kau cuba contohi
bunga-bunga itu,
kembang mekar mewangi
sehingga harumnya melewati pintu-pintu syurga.
Jangan kau risau ratuku,
kadangkala musim berganti
sehingga bunga tak dapat berkembang mekar
tapi itu hanya ujian buatmu.


Ratuku,
esok musim bunga pasti akan tiba
dan kau akan mampu berkembang lagi.
Cuma yang kuharapankan ketika itu
kau jagalah kelopakmu itu
jangan sampai tangan-tangan kasar memetikmu lagi,
jangan goda kumbang-kumbang ganas
menghisap madumu,
jangan biarkan gagak-gagak hitam itu
merosakkan serimu
kerana kau ratu idaman kalbu.


Ratuku,
aku bukanlah memandang kecantikanmu
walaupun kadangkala aku tertarik memandangnya
tapi bukan itu yang aku harapkan.
Aku yakin ratuku,
masih ada sinar harapan
yang bisa membuatku tersenyum lega
kerana akan kutemui
ratu yang benar-benar ratu.

No comments: