

Assalamualaikum wbt.. 
Sekadar perkongsian bersama, ana lampirkan risalah yg kami (nisa' putrajaya) edarkan baru2 ni di  pasar tani  putrajaya...=) 
*maaf tak berapa clear..maybe boleh save pic, baru nampak jelas isi kandungannya...^_^
Selain itu ana tertarik dgn artikel dari Ust Hj Zaharuddin Hj Abd  Rahman iaitu Aurat : Apa Sudah Jadi ? .. Sekadar perkongsian bersama buat sahabat-sahabat, agar kita lebih istiqamah dan bersungguh-sungguh dlm melaksanakan syariat islam...insyaAllah...(^_^)
 Oleh  
  Ust Hj Zaharuddin Hj Abd  Rahman  
 Semasa saya memberikan kuliah  kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional  termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita  seksi ditangkap di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu hak peribadi  wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang  seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada  kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-  
   
  "Apakah agaknya sebab wanita  ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju  sendat dan nipis?"  
   
  Ada di antara mereka mula  memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya  tidak mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang  menjawab dengan yakin.  
   
  " Untuk nampak cantik  ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.  
   
  Saya bertanya pula : "Agaknya  kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"  
   
  "Tentulah kepada kaum lelaki  ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.  
   
  "Baiklah, jika lelaki tersebut  sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian indah  yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya menguji.  
   
  " Isyh, ustaz ni.. tentulah  tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu  ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.  
   
  "Jika demikian, tidakkah para  wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik  di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?"  Tambah saya.  
   
  " Erm, macam mana tu ustaz?"  Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.  
   
  "Ye la, bila orang lelaki yang  dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya,  mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya secara  tidak terkawal" .."Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah  suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"  
   
  "Cuba bayangkan, kucing yang  lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di  hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu  diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya lagi memberi  keyakinan.  
   
  "Tapi perlu diingat, tak semua  kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga  lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan  bahawa ramai juga yang gagal dan liar"  
   
  "Akhirnya, kerana suasana yang  tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula,  terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi.  Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang  mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu,  samada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak  lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan suasana cukup  sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan dilepaskan nafsunya  secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar, mereka mengganguk  dengan wajah serius kali ini.  
   
  Lebih terangnya, sama-sama  fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di  hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau  sebaliknya? . Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini  untuk mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?. Benar, mungkin  sesoerang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki  hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi keseronokan itu  hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai  buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain menambahkan tahap  azab sahaja. Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh wanita Arab  yang solehah dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini sudah  tentu boleh memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mugkin  pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat  redha dari mata dan hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga  berminat meraih redha dari mata dan hati baginda SAW?.  
   
   
  BENARKAH MENUTUP  AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?  
   
  Ramai wanita professional dan  yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini  disebutkan, mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas.  Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada  wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap  benar saya dengar hujah ini di media massa. 
Hakikatnya,  sebagai hamba  Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk  merujuk Al-Quran dan  Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik  buruk dan benar salahnya  sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah SWT  berfirman :-
   
   "Hai Nabi!  Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan  isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan  jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih  memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka  tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)  
   
  Jilbab, iaitu pakaian yang  lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi  menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan  "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka  menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut,  sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka  berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada  orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga  semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak  kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali  sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu  oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.  
   
   
  Jadi jelasnya, bahawa ayat  tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana  bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi  perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul  dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka,  sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana  sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan  penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik  perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka  berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit  pindaan)  
   
   
  Ayat ini juga jelas  menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan  oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan  wanita Islam dari diganggu dan disakiti.  
   
   
   
  BANTAHAN KAUM  WANITA  
   
  "Eleh, tetapi hari ini ramai  juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh  dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh.  Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana  ustaz nak jawab tu ?. Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini  ditimbulkan.  
   
  "Pernah tak anda merasa amat  marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.  
   
  "Pernah juga ustaz..kenapa  ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.  
   
  "Biasanya bila seseorang itu  sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak  tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah  kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang  saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah  kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan  kemarahan atau gangguan bising itu, setelah beberapa ketika mungkin baru  seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal"  
   
  "Demikianlah juga nafsu jahat,  bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada  pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya  hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup  aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa  dapat dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar, majalah dan novel lucah  " terang saya.  
   
  "Tapi macam mana pulak ayat  tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?" Balas  mereka dengan penuh minat kali ini.  
   
  "Jika kita lihat dengan  teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini  bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya  dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari  tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum  akan tergugat dari mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak  beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan  kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing" Jelas saya  
   
  "Maka bila ada yang seksi, ini  bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat  lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang  sedang tidur"  
   
   
   
  PENGALAMAN  MENUMPANG KE MASJID  
  Saya masih ingat, dalam  perjalanan ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di  Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut  saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami  beberapa rakan  sekerja yang lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba  suasana dalam kereta agak bising dengan  bunyi..uiiiii..oii...peh..mengancam...dan sebagainya, diikuti dengan  kata-kata :  
   
  "Astaghfirullah..korang ini  teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian "disambut  dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita pergi  masjid dengan ustaz, terjaga sikit"  
   
  Anda tentu dapat menggagak apa  yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa  kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang  memenuhi telefon bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu  mereka menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat  skirt-skirt pendek wanita KL, samada wanita Melayu mahupun Cina  disekitar kawasan segitiga emas itu.  
   
  Cuba bayangkan, perasaan  lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga  telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang apabila didedahkan  kepada permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?  
   
  "Gatal dan dah miang sangat  kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap suami  kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian  besar pembaca wanita sekarang ini.   
   
  Tapi itulah cabaran terbesar  lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang  dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah  SWT :  
  زين للناس حب الشهوات من النساء  والبنين ..  
  "Dihiaskan (diuji) bagi  manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita,  anak-anak, harta..."  
   
  Ayat ini dengan jelas menyebut  syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :   
  ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء  
  Ertinya : "Tidak aku  tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada  lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )  
   
   
   
  ANTARA LAWAK  & HUKUM  
  Saya juga masih ingat, sewaktu  di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka  terlihat aurat wanita sebegini akan disebut .. "tak pe ustaz kan,  pandangan pertama tak berdosakan?". Sedih saya melihat sikap sebahagian  umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat  kejahilan mereka.  
   
  Sebuah hadith : "Dari  Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w.  tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka  jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu  Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua  kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.   
   
  Apabila ia adalah sebuah  hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan  apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-  
   
  ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى  النار أبعد مما بين المشرق والمغرب  
   
  Ertinya : " Sesungguhnya  seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui  implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh  mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" (  Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)
 
   
    
  KESILAPAN KERAP  WANITA TENTANG AURAT
Ketika ini, saya mengambil  masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke  Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan  mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di  manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti  berikut :-  
  KESALAHAN  PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.  
  KESALAHAN KEDUA :  Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.  
  KESALAHAN KETIGA  : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.  
  KESALAHAN  KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu  memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.  
  KESALAHAN KELIMA  : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung  rambutnya.  
  KESALAHAN KEENAM  : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar  rumah, pasaraya dan sebagainya.  
  KESALAHAN  KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka  terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.  
  KESALAHAN KELAPAN :  Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat  sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.  
  Sebahagian wanita menyangka  bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat  sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :  
  "Hendaknya mereka  itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU  MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR."  (an-Nur: 31)  
   
  Pengertian khumur (tudung),  iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa  yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu  belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.  
   
  Setiap perempuan Islam wajib  menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga  leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup  dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat  hatinya.  
   
  Menurut Syeikh Dr Yusof  Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu  apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik  berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun  buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.  
   
  Dalam ayat di atas Allah  memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan  perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak  memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu  para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta  ukurannya.  
   
  Misalnya sahabat besar Nabi  seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir  itu adalah : celak dan cincin.  
   
  Yang berpendapat seperti ini  ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin  wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya,  iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh  ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.  
   
  Bagaimanapun Ummul Mukminin  Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan  yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di  pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan  batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan.  Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.   
   
  Menurut Syeikh Al-Qaradawi  juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh  perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah  di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang  sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah.  Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah,  adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah  haram.  
   
  Namun, kiranya sesempurna  mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan  perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga  meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini.  Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang  sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.  
  "Dan hendaknya  mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali  terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)

 Kesemua jenis berpakaian yang  disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam.  Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana  mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang  seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting),  perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada  (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya  ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh  melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk  dinampakkan.  
   
  Amat jelas dari dalil al-Quran  dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang  membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah  pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya  tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan  sebagainya.  
   
  Dalam hadisnya yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:  
  "Ada dua golongan  dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum  yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul  orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang  berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan  mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya  sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga,  serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu  tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat  Muslim)  
   
  Mereka dikatakan berpakaian,  karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada  hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu  mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga  dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan  sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)  
   
  ‘Bukhtun' adalah salah satu  macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut  orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya  ditarik ke atas.  
   
  Disebalik keghaiban ini,  seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini  yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam  bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum  lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini  
   
  Larangan Nipis  
   
  Saidatina Aisyah r.a  meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di  rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian  baginda SAW berpaling dan mengatakan:  
  "Hai Asma'!  Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya),  tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil  ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)  
   
  Walaupun terdapat perawi lemah  dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan  melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa  fitnah.  
  Dr Yusof Al-Qaradawi  menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki,  kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan  berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)  
  KESALAHAN  KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis  sepanjang jalan.  
  Diriwayatkan dalam sebuah  Hadith :-  
  يرحم الله المتسرولات  
  Ertinya : Allah  sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah  dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd  Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .  
   
  Menurut Imam Mujahid,  hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari  kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat,  maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat  berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah  SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn  Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)  
   
  Berdasarkan dalil ini  juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar  panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut  kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.  
   
  KESALAHAN  KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya  tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.  Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita  menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan  pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak  tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga  membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun  penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.  
   
  Larangan ini datang  dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah  dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam  hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)  
   
   
  TUJUAN TUNTUTAN  MENUTUP AURAT  
  Berdasarkan dalil  Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh  dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul.  Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan  oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh  mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah,  bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya  hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa  'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam  Al-Quran dari firman Allah ertinya :-  
  " Maka Syaitan  membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada  keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)   
   
  Ringkasnya, antara  tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat  adalah :-  
  a)       Perbezaan  dengan binatang.  
  Allah SWT berfirman :   
  " Wahai anak Adam,  telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat  kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)  
  Amat jelas dari ayat  ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam  kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling  dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan  binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan  penutupan aurat.  
  b)       Agar  kaum wanita tidak disakiti  
  Ia berdasarkan ulasan  yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari  surah Al-Ahzab ayat 59.  
  c)        Tanda  atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.  
  Ia juga boleh difahami  dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang  demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita  Islam).. »  
  Dari sini jelas,  menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar  diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang  membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »   
   
  d) Tanda  profesionalism dalam sistem pemakaian Islam. 
Kita dapat  memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari  ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para  tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi  dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan  dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan  Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS  di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard'  berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.  
  Justeru, Islam adalah  satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap  menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari  hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan  kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat  perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard'  pemakaian  yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan  logik aqal manusia yang sihat.  
   
   e)       Sebagai  ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah  SWT.
Saya kira hal ini amat  jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk  menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)
  
   DON'T JUDGE A  BOOK BY ITS COVER
Ungkapan ini kerap saya  dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari  wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya  baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.  
  "Orang wanita bertudung  pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi"  Katanya memberi buah fikirannya.  
  "Malah, kami juga baik,  kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok"  tambah wanita ini lagi.  
  Benarkah hujjah mereka?.  Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga  yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah  maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :  
  "Sesungguhnya Allah  tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat  kepada hati dan amalan kamu"  (Riwayat Muslim)  
  Simpati bercampur kesal saya  mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan  hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang  selari dengan kehendaknya sahaja.  
  "Seorang pekerja yang  dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya  sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si  majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini  sikap kamu"  
  Lalu jawab si pekerja : "  Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya  kerja dengan cemerlang"  
  Adakah anda rasa si boss  boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh  mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar  perintahNya ?  
  Hakikatnya, sesuatu  untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan  RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk  kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :  
  "Ketahuilah, bahawa  di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik  maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang  itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)  
   
  Berdasarkan hadith ini,  menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat  pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa  menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda  kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan  kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat  pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua  adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti  sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.  
   
  Justeru, 'we can judge a book  by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam  dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the  heart of a person'.  
   
  Menghukum berdasarkan  yang zahir ini bertepatan dengan hadith :  
  إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون  إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن  قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار  
  Ertinya : Sesungguhnya aku  hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di  selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah  dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan  apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan  hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang  benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia  bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan  lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar,  8/632, no 3920 )  
   
  Hadith ini dengan jelas  menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan  info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan  aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan  Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.  
   
  Kaum wanita perlu menyedari  bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan  memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si  wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih  setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak  dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia  berdasarkan sabda Nabi SAW  
  من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه  وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً  
  Ertinya : Sesiapa  yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa  setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." (  Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )  
   
  Termasuklah dalam erti  mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di  hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si  wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang  memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah  gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.  
   
  Sesungguhnya Allah itu maha  adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan  mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan  kecuali ;  Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga  dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih  seolah meraguinya. ?  
   
  Sekian
 Copy : Zaharuddin Abd Rahman  
  www.zaharuddin.net