Jawapannya:
Al-Imam Al-Nawawi di dalam Minhaj al-Thalibin berkata:
"Dimakruhkan berpuasa hari Jumaat
secara bersendirian, dan pada hari Sabtu."
(Bihamisy Mughnil Muhtaj, vol.1, hal. 447)
Maksud berpuasa pada hari Jumaat atau Sabtu secara
bersendirian ialah, tidak melakukan puasa sebelum atau selepas hari berkenaan.
Adalah makruh berpuasa pada hari Jumaat satu satunya
sahaja tanpa di sambung sebelum atau sesudahnya dengan puasa yang lain.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu
berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Jumaat
sahaja."
(Hadits riwayat Ahmad)
Tetapi jika digabungkan puasa hari jumaat itu dengan satu
hari puasa yang lain sama ada di sebelumnya atau sesudahnya, maka tidaklah
dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu
berkata, aku mendengar Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam bersabda :
Maksudnya: "Jangan berpuasa salah seorang daripada
kamu pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau
selepasnya."
(Hadits riwayat Bukhari)
Adapun dihukumkan makruh hanya berpuasa sehari semata-mata
pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang
Yahudi. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr daripada saudara perempuannya
sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu
melainkan apa yang telah difardhukan Allah ke atas kamu. Jika seorang daripada
kamu tidak mendapati (pada hari itu apa-apa makanan) melainkan satu kulit
anggur atau ranting pokok, maka hendaklah dia memamahnya. (supaya kamu tidak
dinamakan berpuasa pada hari itu)"
(Hadits riwayat Tirmidzi)
Jika puasa hari Jumaat, dia tidak berpuasa pada hari
khamis. Juga tidak berpuasa pada hari Sabtu. Ini makruh. Begitu juga, jika dia
berpuasa pada hari Sabtu, dia tidak berpuasa pada hari Jumaat. Juga tidak
berpuasa pada hari Ahad. Makruh juga.
Al-Khatib al-Syarbini berkata:
[Dan dimakruhkan berpuasa secara
bersendirian pada hari Jumaat kerana sabda Rasulullah s.a.w.: "Jangan kamu
berpuasa oleh salah seorang dari kamu pada hari Jumaat kecuali berpuasa sehari
sebelum atau selepasnya." (HR Syaikhani). Alasannya ialah, agar dengan
tidak berpuasa dapat menguatkan dirinya untuk melakukan perkara yang dituntut
pada hari Jumaat.
(Lihat: Mughnil al-Muhtaj, al-Khatib al-Syarbini, vol 1,
hal 447)
Katanya lagi:
[Ada juga yang mengatakan illah
(alasannya) ialah supaya tidak berlebih-lebihan di dalam mengagungkan hari
Jumaat, sebagaimana orang kelakukan Yahudi untuk hari Sabtu. Ada juga yang
memberi alasan agar tidak dianggap sebagai puasa yang diwajibkan. Ada pendapat
lain, alasannya ialah, kerana hari jumaat adalah hari raya dan hari menikmati
makanan.] (ibid.)
Katanya lagi:
[Dimakruhkan juga berpuasa pada hari
sabtu bersendirian ataupun pada hari Ahad. Kerana ada hadis: "Jangan kamu
berpuasa pada hari Sabtu kecuali puasa yang wajib atas kamu." (HR
al-tarmizi & al-hakim atas syarat syaikhani). Kerana orang Yahudi
mengagungkan hari Sabtu dan orang Nasrani (Kristian) mengagungkan hari Ahad.
Dan terkeluar/terkecuali dari kemakruhan menyendirikan
tiga hari tersebut ialah dengan menghimpunkan dengan hari lain. Oleh itu tidak
makruh berpuasa pada hari Jumaat dengan digabungkan puasa pada hari Sabtu.
Begitu juga tidak makruh berpuasa pada hari Sabtu dengan digabungkan puasa pada
hari Ahad. Kerana dengan menggabungkan begini dianggap tidak mengagungkan
hari-hari berkenaan.]
Katanya lagi:
[(Tanbih/peringatan). Tempat yang
dimakruhkan menyendirikan puasa pada hari-hari yang tersebut di atas ialah
apabila ia tidak bertepatan dengan adat kebiasaannya. Oleh itu, jika dia biasa
melakukan sehari berpuasa dan sehari berbuka, kemudian terkena hari berpuasa
pada hari berkenaan (Jumaat, Sabtu atau Ahad), maka ini tidak dimakruhkan,
sebagaimana pada hari syak. Kerana ada hadis Muslim: "Jangan kamu
mengkhususkan berpuasa pada hari Jumaat di antara hari-hari, kecuali pada puasa
yang berpuasa oleh salah seorang dari kamu." Dan diqiyaskan hari Jumaat
dengan hari-hari lainnya.]
Larangan melaksanakan amalan atau Ibadah Khusus pada Hari
Jumaat
Hari Jumaat disunatkan melakukan amalan-amalan Soleh
(seperti berselawat), akan tetapi mengkhususkan hari jumaat untuk berqiam
al-lail dan juga berpuasa adalah ditegah.
Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi saw
bersabda :
لا تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي ، وَلا تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الأَيَّامِ ، إِلا أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ
"Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk Qiam Al-Lail
dari malam yg lain, dan mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa dari hari yang
lain, melainkan telah biasa berpuasa salah seorang dari kamu" - [Hadith
Riwayat Muslim #1144].
Al-San'aani menjelaskan (didalam Subul al-Salaam) :
الحديث دليل على تحريم تخصيص ليلة الجمعة بالعبادة، وتلاوة غير معتادة إلا ما ورد به النص على ذلك كقراءة سورة الكهف .
"hadith ini menunjukkan haram mengkhususkan hari
Jumaat untuk beribadat atau membaca Al-Quran yang bukannya amalan kebiasaan
seseorang, selain dari mana yang telah diajarkan, seperti membaca surat
al-Kahf."
Kata Al-Nawawi pula:
وَفِي هَذَا الْحَدِيث النَّهْي الصَّرِيح عَنْ تَخْصِيص لَيْلَة الْجُمُعَة بِصَلاةٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِيِ , وَيَوْمِهَا بِصَوْمٍ. وَهَذَا مُتَّفَقٌ عَلَى كَرَاهِيَته
"Hadith ini jelas menunjukkan haram mengkhususkan
malam Jumaat untuk solat atau siang harinya berpuasa. Telah dipersetujui bahawa
hukumnya MAKRUH"
Beliau mengatakan bahawa hari Jumaat ialah hari berdo'a, zikir,
beribadat seperti ; mandi, pergi ke masjis awal, mendengar khutbah dan
mengingat Allah banyak-banyak selepasnya sebagaimana yang dinyatakan didalam
surah Al-jum'ah 62:10.
--------------------
Kesimpulan:
1. Makruh berpuasa pada hari Jumaat tanpa berpuasa sebelum
atau selepas hari berkenaan.
2. Begitu juga dengan hari Sabtu dan Ahad.
3. Hukum ini berdasarkan kepada beberapa hadis Nabi s.a.w.
seperti yg tertera diatas.
4. Tidak makruh berpuasa pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad
jika ia dibulan Ramadhan atau puasa ganti untuk Ramadhan atau seperti orang
yang biasa berpuasa sehari dan berbuka sehari(puasa nabi Daud a.s).
5. Ditegah menetapkan ibadah tertentu pada malam jumaat
kerana jelas larangan Nabi SAW didalam hadis diatas. Yg dibolehkan hanya bacaan
surah Al-Kahfi, bukan surah Yassin.
Wallahua'lam